Monday, September 20, 2010

Esma Daniel Jadi Tun Mahathir


Ada sebab mengapa pelakon Esma Daniel teruja sangat sekarang. Jumaat ini dia akan menaiki pentas Panggung Sari Istana Budaya untuk melakonkan satu watak yang penting. Tun Mahathir. Esma diberi tanggungjawab besar dalam pementasan Muzikal Tun Mahathir yang akan dipentaskan sehingga 4 Oktober depan.
"Semestinya saya teruja apabila diberi kepercayaan membawakan watak Tun Mahathir (zaman dewasa)," kata Esma kepada Mangga Online.
BERGANDING DENGAN ERRA FAZIRA
Bagaimana Esma menjiwai watak Tun Dr. Mahathir?
"Kita kenal siapa mantan Perdana Menteri kita. Saya ada juga membuat kajian melalui pembacaan serta ada juga menonton video melibatkan Tun Mahathir untuk membolehkan saya membawakan personalitinya dan dibawa ke atas pentas.
"Membawa watak Tun Mahathir bukanlah mudah, kerana orang sudah kenal siapa beliau... insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik untuk pementasan ini.
"Kami dah berlatih lama dan saya menolak banyak tawaran demi memberi tumpuan kepada watak dalam pementasan ini," jelas Esma kepada Mangga Online.
Teater muzikal terbitan CTRA Production, Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Istana Budaya itu menampilkan Erra Fazira (Tun Dr. Siti Hasmah), Zizan Nin (Tun Mahathir zaman remaja) dan ramai lagi.
Naskhah tulisan  Ismail Kassan itu akan dilaksanakan oleh  Rosminah Mohd. Tahir sebagai sutradara. Pihak produksi  sudah menjalankan penyelidikan terperinci selepas mendapat lampu hijau daripada Dr. Mahathir berhubung pementasan itu.

Kelainan utama Muzikal Tun Mahathir disebabkan tokohnya masih hidup. Berbeza dengan teater lain, penghargaan diberi kepada individu-indvidu sudah meninggal dunia seperti Tuanku Abdul Rahman, Tan Sri Zainun Munsyi Sulaiman dan Tun Dr. Ismail, Tun Abdul Razak, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan yang pernah dipentaskan sebelum ini.

Tiket Muzikal Tun Mahathir boleh dibeli dengan harga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150 menerusi www.ticket2u.biz atau menghubungi Istana Budaya di talian 03-4026 5558.
Esma berharap pementasan teater tersebut nanti akan menarik minat penonton. Apatah lagi ia bertepatan dengan bulan kemerdekaan dan bakal mengimbau jasa tokoh yang banyak berjasa kepada negara.
"Saya pun tak sangka diberi kepercayaan membawakan watak dalam teter besar ini. Masih ingat lagi bagaimana saya memulakan lakonan di pentas teater dalam fregmen teater Julia beberapa tahun lalu.
"Saya menggantikan watak pelakon lain pada masa itu dan memiliki masa beberapa hari sahaja untuk menjiwai watak dalam pementasan anjuran Kumpulan Utusan itu," imbau Esma.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails